
TEHERAN - Seorang lelaki Iran, Majid Movahedi yang didapati bersalah menyimbah sebaldi asid ke muka seorang wanita, dijatuhi hukuman sama dengan jenayah yang dilakukannya oleh mahkamah negara itu.
Majid melakukan perbuatan kejam itu selepas mangsa, Ameneh Bahrami beberapa kali menolak lamarannya untuk berkahwin, sehingga mengakibatkan wajah wanita itu rosak teruk selain menyebabkannya menjadi buta dalam serangan pada 3 November 2004.
Mahkamah mengarahkan Majid dibutakan menggunakan asid selepas lelaki itu mengaku bersalah atas jenayah itu.
Hukuman itu sepatutnya dijalankan kelmarin, namun pihak berkuasa Iran menangguhkannya selepas campur tangan masyarakat antarabangsa, termasuk Britain, yang mengecam hukuman itu.
Ameneh berkata, pada awalnya dia mahu menjalankan sendiri hukuman itu yang ditegaskan sebagai sah dari segi undang-undang agama.
“Tetapi saya takut asid tumpah di tangan saya, jadi lebih baik doktor yang melakukannya. Saya menunggu selama enam tahun untuk hari ini,” katanya, kelmarin. _Sinar Harian